Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Infinitesane. "Wednesday Wonder" kali ini, seperti yang anda dapat jangkakan, adalah tentang hari guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun. Sebelum apa-apa, kita dengar dahulu lagu ini:
Banyak guru yang kita kenali dalam hidup kita. Kita belajar pelbagai subjek dan pelajaran semasa di sekolah dan di luar sekolah. Namun begitu, pastinya ada beberapa guru yang sangat mempengaruhi hidup kita. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang seorang guru yang sangat mempengaruhi saya. Entri kali ini agak pendek, malah dalam minggu ini entri-entri saya agak pendek kerana saya sedang mengerjakan "sesuatu" dan berharap dapat diselesaikan dalam minggu ini.
Sekali lagi, saya ingin meminta maaf kerana saya bercadang untuk mengupload gambar saya tapi sekali lagi kerana kekangan masa saya sertakan gambar saya semasa di zaman tersebut yang telah saya upload lama dahulu di facebook:
Kembali kepada kisah saya. Saya, seperti yang kenalan saya ketahui sangat gemar melakukan aktiviti-aktiviti seni terutamanya menyanyi. Saya mula melakukan persembahan solo semasa saya berumur 6 tahun. Namun begitu, persembahan solo saya yang pertama bukanlah nyanyian, tetapi bersajak. Apabila saya berpindah ke Kuala Kubu Bharu semasa saya berusia 8 tahun, semasa di kelas muzik, guru muzik di situ lantas menjemput saya untuk menyertai pasukan koir. Dan guru tersebut saya kenali "Cikgu Zahari". Saya tiada gambarnya, tetapi wajahnya akan sentiasa berada dalam memori saya. Kenapa? Sebab mukanya seiras dengan muka "The Undertaker". Cuma rambutnya pendek dan kerinting.
Pada mulanya memang saya takut untuk berjumpa dengan beliau. Yelah, muka macam Undertaker, siapa tak takut. Ternyata saya silap. Beliau sangat baik, membantu saya dalam pelbagai aspek. Kalau saya tidak menjumpai beliau, pasti saya tak dapat membawa pasukan nasyid Sekolah Dato' Abdul Razak sebagai naib johan festival nasyid peringkat daerah di bawah SMAP Labu. Memang, saya akui saya amatur. Saya tidak dididik secara formal untuk melatih kumpulan berharmoni. Tetapi, dengan pengalaman hasil tunjuk ajar beliau, saya bolehlah menyusun harmoni hanya menggunakan deria "rasa" pendengaran sahaja. Tetapi saya tak mengaku saya hebat, saya hanya mengaku bahawa saya boleh melakukannya.
Ah...masa itu telah pun berlalu. Boleh dikatakan saya ini anak emas beliau jugalah walaupun mungkin ada lagi pelajar yang mendapat layanan baik dari beliau. Cuma saya kini sendiri dan tiada siapa lagi dapat memandu arah hidup saya. Mungkin saya pernah menceritakan kisah beliau dalam entri beberapa tahun dahulu, tapi mungkin saya sudah lupa dan inilah masanya saya menyegarkan semula memori untuk bangun menempuh hari esok.
Sampai disini sahajalah dahulu. Ada lagi benda saya perlu selesaikan.
Jumpa lagi,
Wassalam.
dari,
K-tea.