Friday, September 11, 2009

Puasa Ke?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada pembaca-pembaca InfiniteSane ini. Kali ini saya ingin bercerita dan menegur serta memberi peringatan terutama kepada diri saya juga kepada sesiapa yang terasa kerana saya percaya ramai yang melakukan kesilapan yang sama kerana saya juga ada melakukan kesalahan yang sama. Akhir-akhir ini juga saya semakin hanyut, dan dengan entri ini juga dapat menarik atau membiaskan semula ke jalan yang sebenarnya. Hari ini ialah 21 Ramadhan, saya baru sahaja ingin menghantar entri tentang puasa. Kenapa? Ramadhan dah nak abis dah... dah nak raya dah ni, kenapa cerita pasal puasa la pula ni, apacer (apa cerita, istilah orang-orang muda sekarang, saya kan muda lagi). Itulah persepsi yang ingin saya ubah kepada setiap orang. Nak tahu cerita seterusnya, klik READ MORE...

Saban tahun kita bertemu dengan Ramadhan, pastinya kita bersemangat di awal ramadhan, baguslah, Alhamdulillah... Tetapi menjelang syawal, kita semakin melupakan ramadhan. Saya mengambil keputusan untuk menghantar entri ini pada waktu ini kerana waktu inilah yang dikatakan waktu klimaks dalam bulan Ramadhan. 10 malam terakhir. Bukannya kita tak tahu, tapi kita buat-buat tak tahu. Waktu inilah kita mempergiatkan lagi amalan-amalan kita. Kita tahu, tapi buat-buat tak tahu. Kita sering sibuk membuat persiapan hari raya. Buatlah persiapan, islam tak melarang pun. Tapi bila ia dilakukan berlebih-lebihan, ia dah jadi tak betullah tu. Kemudian, dalam 10 malam akhir ini kita sibuklah kononnya nak cari malam lailatul qadar. Betullah tu, tapi bukannya kita sibuk beribadat bila malam-malam ganjil sahaja. Buatlah sepanjang Ramadhan itu masih ada. 10 malam terakhir ini adalah fasa pembebasan dari api neraka, beribadatlah dengan bersungguh-sungguh pada tiap-tiap hari sepanjang ramadhan.

Seterusnya adalah kesilapan-kesilapan yang sering kita lakukan dalam bulan Ramadhan. Ini termasuklah saya yang turut melakukan kesalahan itu. Ini juga mungkin kita semua tahu, tapi kita buat-buat tak tahu. Pertama, seawal kita bangun pagi. Kita tengok jam. Eh, dah lambat ni, nak sahur ni. Tapi jam baru menunjukkan pukul 4 pagi. Wah, awalnya. Kita disarankan untuk melambat-lambatkan sahur kerana sahur ini adalah penanda puasa kita akan bermula. Bukankah elok kalau kita terjaga pukul 4 ataupun 4.45 pagi kita berqiamullail? Bukannya lama pun. Selepas itu, kalau pukul 5 pun masih banyak masa untuk makan sahur. Tapi saya tak tahulah kalau yang perlu memasak atau membuat persediaan untuk bersahur perlukan masa untuk menyediakannya. Yang saya katakan disini, yang bersahur seawal pagi. Satu lagi pada pandangan saya kelebihan melewat-lewatkan sahur ini adalah supaya kita terus menunaikan solat subuh seawal yang boleh. Kalau boleh, berjemaahlah. Sangat besar ganjarannya bagi yang solat subuh berjemaah di surau atau masjid. Itu boleh saya ceritakan di entri yang lain. Ini tidak, sanggup bangun awal-awal untuk bersahur, kemudian tidur semula, akhirnya jadilah bangun lewat. Sahur buat, Subuh lambat pula. Macam mana tu? Kita semua tahu tentang solat subuh berjemaah, tapi kita buat-buat tak tahu. Kemudian, ada pula yang menetapkan penggera jam pukul 6.30 pagi, bangun, dan bukannya terus bersolat, sebaliknya bersiap-siap dahulu kemudian baru bersolat. Tak apa, kita bersiap dulu, Allah boleh tunggu. Kalau kita meninggal dunia semasa kita sedang bersiap bagaimana? Sempatkah kita bersolat dahulu? "Sesungguhnya ajal itu tidak akan terawal atau terlewat walau sesaat pun" (betulkan kalau salah). Ini akan membawa kepada perkara kedua.

Kedua, perkara-perkara fardu perlulah kita jaga. Yang saya ingin titik beratkan disini ialah solat. Sakiranya kita terlepas sahur, puasa kita masih tidak terbatal. Tetapi solat kita perlulah kita jaga, kita tak naklah puasa kita hanya dapat lapar dan dahaga sahaja, biarlah dapat pahala juga. "Eh, saya solat tak pernah miss, macam mana awak boleh kata saya tak jaga solat pula?" menunaikan solat 5 waktu adalah wajib bagi setiap Muslim, itu tidak bermakna kita menjaganya. Menjaga solat ini ialah dengan memastikan kita solat di awal waktu, itulah namanya kita menjaga solat. Punctuality, pernah dengar? Kalau solat di hujung waktu, itu apa? kadang-kala, kita dengan sengaja melewat-lewatkan waktu solat tanpa ada sebarang sebab yang meyakinkan. Kalau ada kelas ke, itu bolehlah diringankan, kadang-kala game, facebook, internet, anime, manga dan sebagainya boleh mendahului Allah kan? Tak apa, ada masa lagi ni, nanti kalau solat, tiba-tiba connection terputus pula... Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan anda semua, kita ini hamba-Nya. Dia ada hak untuk menarik balik apa yang Dia punya, semua yang kita ada ini adalah pemberian dari-Nya. Jika kita bersyukur, Allah akan tambah lagi nikmat kita, jangan risau. Allah tidak zalim, Allah sayangkan orang yang kasih kepada-Nya. kadang kala kita yang zalim kepada diri kita sendiri. Percayalah.

Sebagai kesimpulannya, Allah menurunkan Ramadhan ini sebagai bonus setiap tahun kepada kita. Kalau kita convertkan pahala itu menjadi wang, pasti semua orang akan berlumba-lumba membuat ibadah di bulan Ramadhan. Tapi, orang sekarang mata duitan. Melabur sana melabur sini. Bukan tak boleh, cuma nak membuat perbandingan sahaja, pelaburan untuk akhirat? Nah, sekarang ini waktu bonus, pahala berganda, orang tak tertarik dengannya, kalau kredit berganda ke, orang minatlah...boleh mesej orang tersayang sepuas-puasnya. Pahala berganda...ibadah sunat, pahalanya setara dengan pahala wajib, apatah lagi perkara wajib. Berbagai-bagai pendapat dalam ini, ada yang mengatakan 700 kali ganda dan sebagainya. Bonus gaji? Ada ke sampai beratus-ratus kali ganda? Fikir-fikirkan. Kesimpulan kedua, kita perlulah sentiasa ingat mati. Kerana dengannya kita akan jadi bertambah takut dengan Allah. Malaikat Izrail si pencabut nyawa, turun ke bumi untuk menjenguk kita sebanyak 70 kali sehari. Bayangkan? Dia akan check, "Oh, dia ni belum nak mati lagi." Jadi bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Sampai disini sahajalah buat kali ini, akhir sekali selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Oh, sebelum terlupa. Aidilfitri ialah hari kemenangan kita umat islam dalam sebulan menundukkan nafsu. Persoalannya, adakah kita menang dalam bulan Ramadhan ini? Saya tinggalkan soalan ini kepada anda sendiri menjawabnya. Jumpa lagi. Assalamualaikum.

p/s: Tiket balik dah beli? saya dapat tiket yang terakhir pada hari saya balik ke Batu Pahat nanti. Orang ramai balik awal, saya balik hari sabtu 2 minggu depan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Malaysia Super League