Gambar hiasan, bukan milik Infinitesane.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Infinitesane.
Saat entri ini ditulis, jam tepat menunjukkan waktu 0900 waktu Malaysia, pada tarikh 18 Ogos 2011. Semalam adalah tarikh sambutan Nuzul Quran untuk menyambut peristiwa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW; yang mana wahyu ini dan wahyu-wahyu berikutnya menjadi pedoman buat kita hingga akhir zaman. "Iqra'" adalah seruan untuk kita untuk mencari ilmu. Jadi, ayuhlah kita bersama mencari dan sentiasa dahagakan ilmu.
Entri kali ini saya ingin buat anda semua berfikir untuk sama-sama kita renung dan bertindak. Pada mulanya saya berasa inferior untuk menulis entri ini kerana saya merasakan saya belum layak untuk memberi cadangan atau kata-kata terhadap orang lain yang jauh lebih bagus dari saya. Percayalah, saya ini sangat banyak kekurangannya. Saya ini belum mampu untuk melakukan sesuatu dengan istiqamah, saya masih belum berguna kepada masyarakat, dan sebagainya. Cukuplah sikit sahaja yang boleh saya dedahkan. Hahaha. Entri ini untuk anda semua dan khususnya kepada diri saya. Baiklah, terus ke isi kita ya?
Separuh Ramadhan telah pun kita lalui. Apa yang dapat kita capai? sama-sama kita jawab dalam hati. Ramadhan yang kita semua tahu adalah bulan bonus bagi kita. Amalan sunat kita akan dikira seperti amalan wajib, apatah lagi amalan wajib. Dalam entri ini juga saya ingin membuat kita berfikir "Dah cukup ke?".
Alhamdulillah, kita mengerjakan semua amalan sunat dan wajib yang dituntut untuk kita kerjakan. Semasa saya mendengar salah satu tazkirah semasa terawih, ada menceritakan tentang abid dan alim. Apa bezanya antara dua ini? Yang membezakan kedua ini ialah abid ini adalah abid yang jahil. Manakala yang alim ni, alimlah. Alim kan bermaksud "orang yang berilmu", kalau salah betulkan. Jahil bukan jahat ya? Masa kecil-kecil dahulu, saya ingatkan jahil tu jahat sebab Arab Jahiliah kan tak baik? hahaha. Sebenarnya jahil tu kan maksudnya kurang pengetahuan?[source] Tapi tu maksud secara istilahnya. Jadi kisahnya si syaitan bertanya kepada "Big Boss"nya, Iblis tentang si Abid dengan Si Alim. Ternyata sang Iblis lebih takut dengan si Alim. Abid pula ialah orang yang kuat beribadah. Jadi Abid yang jahil ialah orang yang kuat beribadah tapi kurang pengetahuannya. Mungkin ada yang dah tahu kisah ini dan mungkin ada yang belum tahu kisah ini. Tapi saya tak bercadang untuk menulis sepenuh kisahnya disini, kerana takut memanjangkan entri ini lagi. Kalau ada yang nak tahu, bolehlah tanya saya di YM atau di facebook saya. Nanti saya ceritakan. Kalau berminatlah.
Pernahkah kita tahu maksud-maksud bacaan dalam solat kita? Maksud tiap-tiap perkataan. Sejujurnya saya belum dapat lagi maksud tiap-tiap perkataan. Tapi brader-brader yang saya kenal mesti tahu punya kan? Tapi saya pasti peratusan yang tak tahu itu jauh lebih tinggi. Dan saya termasuk dalam peratusan itu. Ini yang pada pendapat saya salah satu sebab kenapa generasi saya ini kebanyakannya jauh dengan Allah. Kerana amal ibadah kita berpandukan hafalan dan bukan dengan penghayatan. Baru-baru ini emak saya sering bertanyakan doa-doa untuk diamalkan di tanah suci nanti, (ya, kedua orang tua saya akan mengerjakan haji musim haji ini, InsyaAllah) dan bagaimana nak menghafalnya. Jawapan saya ialah lebih senang nak hafal kalau kita tahu maksudnya. Memang betul bahasa Arab itu lebih afdhal dalam doa-doa kita, kalau siapa-siapa yang pakar tasawuf mungkin tahu kenapa, tapi Allah itu maha Adil, kalau kita nak berdoa dalam bahasa Melayu apa salahnya? Allah faham apa bahasa kita guna hatta bahasa swahili sekalipun, atau jerman dan sebagainya. Bukankah kalau kita faham doa-doa kita, kita akan "rasa" apa yang kita doakan? Percayalah, kalau kita hanya menghafal membuta tuli, pemahaman dan penghayatan tak akan sampai. Kerana akal kita akan memikirkan apa perkataan seterusnya dan bukannya memfokuskan isi doa kita. Ingat lagi semasa imam besar Masjidil Haram datang dahulu? Apa seruannya? Beliau menyeru kita agar dapat memahami bahasa Arab. Bahasa Arab ini pada saya bahasa Islam. Macam mana kita nak menyerap Islam kalau kita tak faham bahasanya? Bagaimana pula dengan bacaan Al-quran kita? "Ustaz tazkirah" juga ada menyebut tentang apa yang kita buat adalah tilawah Al-quran dan bukan tadarus Al-quran kalau kita tak faham apa yang kita baca. Saya akui saya belum istiqamah membaca Al-quran ini. Namun, saya baca Al-quran bersama terjemahannya. Sekurang-kurangnya saya dapat serap tak banyak sikit pun jadilah. Saya pun khatam belum banyak kali sebab memang saya tak pernah kira pun. Saya baca Al-quran sebab saya nak baca kerana Allah SWT. Tapi saya pasti angkanya sedikit. Dan saya berharap dapat saya baikinya sedikit demi sedikit atau dalam bahasa Jepun, "Don-don". Kalau boleh, bila kita baca Al-quran, kita tahu apa yang kita baca. Tapi bukanlah saya kata selagi tak faham tak payah baca, ia bagus cuma bukankah lebih baik kalau kita "upgrade" pemahaman kita?
Saya tahu yang kita sibuk dengan berbagai perkara, tapi ingin saya ajak anda semua dan saya sendiri agar dapat meluangkan sedikit masa belajar bahasa Arab. Saya selalu "jalan-jalan" di google untuk cari buku bahasa (macam-macam bahasa). Saya ada jumpa dua ebook ini. Saya pun tak baca sangat lagi sebab baru jumpa. Tapi saya share jugalah [klik sini dan sini]. Kalau anda rasa ia bagus, bacalah. Kalau rasa tak elok, "delete"lah ia kerana ia memenuhkan memori anda dan memperlahankan komputer anda kalau ia terlalu penuh. Rasa rugi pula kerana masa sekolah agama dahulu tak belajar bahasa Arab betul-betul (satu-satunya subjek saya fail semasa sekolah agama dahulu adalah subjek bahasa Arab). Saya mula berminat belajar berbagai bahasa bermula semasa saya di sekolah menengah di mana saya belajar bahasa Jepun, dan Bahasa Sepanyol semasa di UTHM. Dan sekarang saya belajar sendiri bahasa-bahasa yang lain. Sebab masa saya kecil dahulu tak ada sesiapa pun yang mengujakan saya untuk belajar bahasa Arab hatta Ustazah ajar bahasa Arab sekalipun. Ataupun ada tapi saya dah lupa. Hahaha. Apa yang pasti, kalau saya ada zuriat nanti saya akan cuba mengujakan dia untuk belajar bahasa Arab. Ironinya saya masuk syarahan bahasa Arab semasa di sekolah dahulu. Tapi apa yang saya buat saya hafal sahaja teks tersebut.
Akhir sekali, kesimpulannya, apa sahaja yang kita lakukan, kita perlu lakukan dengan sepenuh penghayatan dan pemahaman. Apa yang saya coretkan disini bukanlah bermaksud apa yang kita buat selama ini sia-sia, bukanlah saya yang layak menilainya. Cuma seruan saya adalah kita dapat upgrade ibadah kita. Ingatan ini untuk saya dan anda semua untuk kita sama-sama fikirkan.
Maaf andainya entri terlalu panjang. Itu belum saya habiskan kisah yang saya cerita separuh jalan tadi. Entri ini juga saya tujukan kepada ibu bapa saya yang akan mengerjakan haji dengan harapan mereka dapat haji mabrur [pengertian haji mabrur].
Sampai sini dahulu, jumpa lagi di entri akan datang.
Wassalam.
p/s: Berbukalah berpada-pada.